Katogeri

Thursday, 11 December 2014

Lapan Wasiat Berguna Sepanjang Zaman


Suatu ketika, Imam Hatim Al – Asam telah ditanya oleh gurunya iaitu Syaqiq Al Balkhi mengenai apa yang telah dipelajarinya selama ini stelah berguru dengannya. “Engkau telah belajar daripadaku selama 30 tahun lamanya. Apakah ilmu yang kamu perolehi daripada ku wahai Hatim?” Tanya gurunya. Lalu Imam Hatim Al – Asam menjawab, “Aku telah menghasilkan lapan faedah daripada segala yang telah aku pelajari dari tuan guru. Lapan faedah ini sudah memadai untukku. Kerana aku mengharapkan padanya keselamatan dan kesejahteraanku pada hari kiamat nanti. Lalu gurunya bertanya lagi, “Apakah lapan faedah itu wahai Hatim?” Lalu Imam Hatim Al – Asam memberitahu, Lapan faedah itu ialah :

Faedah Pertama 

Aku telah melihat pelbagai karenah manusia didunia ini. Aku mendapati kebanyakan mereka ini mempunyai sesuatu yang sangat mereka kasihi dan mengasyikkan mereka. Aku mendapati bahawa sebahagian yang mereka kasihi itu hanya menemani mereka ketika sakit sahaja. Ada pula yang menemani mereka sehingga ke dalam kubur. Manakala yang lainnya akan meninggalkan mereka dan tidak mahu menemani mereka itu sehingga ke dalam kubur. Setelah berfikir, akhirnya aku telah menemui jawapan. Sebaik – baik kekasih adalah kekasih yang anggup mengiringi dan menemani kita sehingga dalam kubur. Menjadi penghibur dan teman setia di alam kubur nanti. Tidak ada kekasih yang bersedia untuk berebuat demikian melainkan amal soleh. Maka aku menjadikan amal soleh sebagai teman dan kekasihku. Supaya ia dapat menerangi kuburku, menghiburkan hatiku dan sudah pasti ia tidak akan meninggalkan aku duduk bersendirian nanti.

Faedah Kedua

Aku melihat ramai manusia sentiasa mengikut hawa nafsu mereka. Mereka akan bersegera menunaikan apa jua kehendak nafsu. Lalu aku memikirkan tentang firman Allah yang bermaksud :

“Dan adapun orang yang takut akan berdiri dihadapan Tuhannya dan menahan nafsu daripada kehendak – kehendaknya maka orang ituakan dijadikan baginya syurga itu sebagai tempat tinggalnya.”
Surah An Nazi’at: 40-41

Melalui ayat ini lahirnya keyakinan di dalam hatiku bahawa Al – Quran itu adalah benar. Nafsu itu mesti dimusuhi, lalu aku menjadikannya sebagai musuh dan berjuang menentangnya. Aku tidak pernah memanjakannya sehingga ia tunduk kepadaku dan berpuas hati apabila ia mahu taat dan beribadat kepada Allah S.W.T.

Faedah Ketiga

Aku melihat ramai manusia berusaha untuk mengumpul harta benda dunia ini sebanyak – banyaknya. Sehingga mereka menjadi kedekut dan tidak mahu mengeluarkan zakat dan bersedekah. Lalu aku terfikir akan firman Allah yang bermaksud :

“Apa yang ada di sisimu itu akan habis dan pahala yang ada di sisi Allah itu kekal.”
Surah An Nahl :96

Setelah itu aku terus mengorbankan apa sahaja yang aku perolehi daripada harta dunia. Aku membahagikannya kepada fakir miskin, supaya harta benda itu menjadi pahala yang tersimpan di sisi Allah S.W.T.

Faedah Keempat

Aku dapati ramai dikalangan manusia menyangka bahawa kemuliaan dan keagungan itu adalah teletak pada jumlah kaum dan pengikut yang ramai. Sebenarnya mereka tertipu. Ramai juga dikalangan mereka menyangka bahawa kemuliaan dan keagungan terletak pada kekayaan dan pengaruh yang ramai. Lalu mereka berasa megah dan sombong. Malah ada juga dikalangan mereka menilai kemuliaan dan keagungan apabila banyak melakukan pembaziran dan keterlaluan dalam berbelanja. Lebih teruk lagi, ada dikalangan mereka menyangka kemuliaan dan keagungan itu apabila merampas hak orang lain secara zalim dan menumpahkan darah. Lalu aku memikirkan firman Allah yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah Taala itu ialah orang yang paling tinggi takwanya.”
Surah Al Hujurat : 13

Aku pun memilih jalan bertakwa kepada Allah untuk mendapatkan kemuliaan. Aku yakin dengan sepenuh hati apa yang disebutkan didalam Al – Quran itu adalah benar. Manakala sangkaan – sangkaan mereka yang aku sebutkan tadi adalah palsu belaka.

Faedah Kelima

Aku dapati ramai orang yang suka memaki – hamun dan mengumpat. Aku dapati hal ini berpunca daripada sifat hasad dengki dalam memiliki harta, kedudukan atau ilmu. Lalu aku berfikir akan firman Allah yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya Kami-lah yang membahagikan segala sumber kehidupan mereka di atas dunia ini”
Surah Az Zukhruf : 32

Setelah itu aku faham bahawa pembahagian segala nikmat itu adalah daripada Allah. Semuanya telah ditetapkan oleh Allah sejak azali lagi. Oleh itu, aku tidak pernah hasad dengki kepada sesiapa. Malah aku berasa puas hati dengan pembahagian dan ketetapan yang telah dilaksanakan oleh Allah S.W.T.

Faedah Keenam

Aku sering melihat manusia sering bermusuhan antara satu sama lain kerana sesuatu tujuan dan kerana pelbagai sebab. Lalu aku memikirkan firman Allah yang bermaksud :

“Sesungguhnya syaitan itu bagi kamu adalah musuh yang nyata. Kerana itu jadikanlah ia sebagai musuh.”
Surah Fathir : 6

Setelah itu aku dapat membuat kesimpulan bahawa kita tidak perlu bermusuh dengan sesiapa selain daripada syaitan.

Faedah Ketujuh

Aku melihat setiap orang bersungguh – sungguh dan berusaha dengan sepenuh tenaga untuk mencari makan sebagai sumber pendapatan. Kadang – kadang mereka terpaksa mengambil yang shubhat dan yang haram. Ada yang sanggup menjual diri dan maruah semata – mata untuk mendapatkannya. Lalu aku memikirkan firman Allah yang bermaksud :

“Dan tidak ada daripada suatu yang melata di atas muka bumi ini kecuali rezekinya telah dijamin oleh Allah Taala.”
Surah Hud : 6

Setelah itu aku memahami bahawa rezekiku di tangan Allah dan telah dijamin oleh Allah, lalu aku hanya sibuk mengerjakan ibadat kepada Allah. Aku menyerahkan segala harapanku hanya kepada Allah. Tidak berharap kepada makhluk selain hanya kepada Yang Maha Pencipta iaitu Allah S.W.T.

Faedah Kelapan

Aku melihat ramai manusia yang mempunyai pegangannya sendiri dalam sesuatu hal. Sebahagian daripada mereka menjadikan wang sebagai pegangan. Ada dikalangan mereka menjadikan harta dan kerajaan sebagai pegangan. Ramai juga yang menjadikan kemahiran atau pekerjaan sebagai pegangan mereka. Malah ada juga dikalangan mereka menjadikan hamba Allah sebagai pegangannya. Lalu aku mimikirkan firman Allah yang bermaksud :

“Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah pasti akan mencukupkannya, sesungguhnya Allah Taala itu mempersampaikan segala urusanNya. Dan sesungguhnya Allah Taala telah menjadikan bagi setiap suatu itu kadar yang telah ditentukan”
Surah At Thalaq : 3

Lalu aku terus bertawakal kepada Allah, maka Allah mencukupkan akan aku dan Allah itu adalah sebaik – baik tempat berserah diri.

Lalu gurunya berkata kepada Imam Hatim Al Asam :

“Semoga Allah sentiasa memberi taufik kepada mu. Sesungguhnya aku telah membaca Taurat, Injil, Zabur dan Al – Quran. Aku dapati isi keempat – empat kitab ini adalah berkisar kepada lapan permasalahan dan faedah yang telah engkau perkatakan tadi. Sesiapa yang beramal dengannya, hakikatnya dia telah beramal dengan keempat – empat kitab yang diturunkan oleh Allah.”


No comments:

Post a Comment