Katogeri

Sunday, 7 December 2014

Ganjaran Sedekah Sepotong Daging


Diceritakan pada suatu ketika Abdullah Bin Jaafar telah keluar bermusafir. Ketika beliau singgah disebuah kebun kurma milik seseorang, dia berhenti untuk berehat. Didapatinya disitu ada seorang hamba abdi berkulit hitam yang menjaga kebun kurma tersebut.

Ketika itu hamba abdi itu mengeluarkan bekalnya untuk makan yang berupa tiga potong daging. Tiba - tiba seekor anjing datang menghampirinya dan berpusing - pusing berhampiran si hamba abdi sambil menyalak kerana terliur melihat potongan daging si hamba abdi itu. Lidahnya pun dijelir - jelirkannya keluar.

Hamba abdi yang baik hati itu mencampakkan sepotong daging kearah anjing itu dan dimakannya. Kemudian dicampakkannya pula sepotong lagi dan dimakannya pula. Ternyata anjing itu masih belum mahu lari juga.

Maka hamba abdi itu mencampakkan makanannya untuk kali yang ketiga dan makanannya dimakan lagi. Maka habislah semua bekal si hamba abdi itu kerana dia memberikan semua bekal makanannya kepada anjing itu tadi.

Abdullah Bin Jaafar yang sejak tadi memerhati keadaan itu berasa sangat hairan, kerana si hamba abdi itu telah memberikan semua bekal makanannya kepada anjing. Lalu dia memulakan perbualan.

Abdullah Bin Jaafar : Wahai anakku, berapa banyakkah makananmu sehari ditempat ini..?

 Hamba Abdi : Hanya tiga potong daging yang dimakan anjing tadi, wahai tuan.

Abdullah Bin Jaafar : Mengapa engkau berikan semua kepada anjing itu? Engkau sendiri akan makan apa nanti...?

Hamba Abdi : Wahai tuan. Tempat ini bukanlah kawasan anjing. Jadi aku yakin dia datang dari tempat yang jauh, sedang bermusafir dan tentu  dia sangat lapar. Sedang aku sendiri, biarlah tidak makan hari ini sampai hari esok. Aku tak kisah.

 Abdullah Bin Jaafar : “Subhanallah. Bagus.... bagus. Ternyata kamu lebih dermawan daripada aku....”

Kerana rasa terharunya dan merasa kedermawanannya masih dikalahkan oleh seorang hamba abdi yang hitam, Abdullah Bin Jaafar membeli kebun kurma dan hamba abdi itu dari tuannya. Kemudian dia memerdekakan si hamba abdi dan kebun kurma itu diberikan kepada hamba abdi itu sebagai hadiah. Setelah itu, dia pergi meninggalkan tempat itu untuk meneruskan perjalanannya.

*Iktibar yang  boleh kita ambil melalui kisah ini adalah mengenai sifat dermawan dan sedekah. Sesungguhnya sifat dermawan adalah sangat dikasihi oleh Allah S.W.T. Malah, sesiapa yang menderma, Allah akan membalas ganjaran yang berlipat kali ganda dari arah yang tidak disangka – sangka. Mungkin nilai sedekah yang kita lakukan adalah sangat kecil nilainya pada pandangan manusia. Namun ia sangat besar nilainya disisi Allah bagi mereka yang benar - benar ikhlas.


Selain itu juga, belas ihsan terhadap haiwan adalah sangat besar ganjarannya di sisi Allah. Sifat mengasihani terhadap sesama makhluk adalah dituntut oleh agama walaupun terhadap seekor anjing.

No comments:

Post a Comment