Ketika Allah S.W.T selesai menciptakan Syurga dan Neraka. Allah berfirman kepada Malaikat Jibril.
“Wahai Jibril, pergilah ke Syurga dan lihatlah apa yang telah aku persiapkan untuk penghuni – penghuninya disana!!!”
Malaikat Jibril memenuhi perintah Allah. Setelah beberapa waktu kemudian Jibril datang mengadap Allah. Lalu Jibril berkata.
“Ya Allah, demi Keagungan Mu, sesungguhnya tidak seorangpun yang pernah mendengar tentang syurga tersebut. Kecuali mereka sangat ingin memasukinya.”
Kemudian Allah memerintahkan seorang Malaikat yang lain supaya memagari Syurga itu. Pagar tersebut dihiasi dengan perkara – perkara yang tidak disukai dan pelbagai amalan ibadah yang wajib dilakukan sebagai syarat untuk menghuninya.
Setelah semua itu selesai, Allah sekali lagi memerintahkan Malaikat Jibril supaya melihat keadaan Syurga yang dipagari itu. Ketika Malaikat Jibril mengadap Allah, dia berkata.
“Demi segala keagungan Mu ya Allah, aku bimbang tidak ada seorangpun yang layak untuk memasuki Syurga itu.”
Setelah itu, Allah berfirman lagi kepada Malaiakat Jibril.
“Wahai Jibril, pergilah pula ke Neraka dan lihatlah apa yang telah aku persiapkan kepada penghuni – penghuninya disana!!!”
Malaikat Jibril terus memenuhi perintah Allah. Setelah sampai ke Neraka, dia melihat api Neraka sedang menerkam antara satu sama lain dengan ganas sekali. Seberapa ketika kemudian, Malaikat Jibril mengadap Allah dan berkata.
“Ya Allah, demi segala Keagungan Mu tidak ada seorang pun yang pernah mendengar tentangnya. Kecuali tersangat ingin lari dari Neraka tersebut,”
Kemudian sekali lagi Allah memerintahkan seorang Malaikat yang lain Supaya memagari Neraka itu. Pagar tersebut dihiasi dengan perkara – perkara yang disukai oleh nafsu syahwat dan pelbagai kesenangan yang terlarang dengan hukum syarak. Setelah selesai semua itu, Allah memerintah Jibril sekali lagi supaya megunjungi Neraka yang berpagar itu.
Ketika kembali ke hadapan Allah, Jibril berkata.
“ Demi segala Keagungan Mu ya Allah, aku bimbang tidak ada seorangpun yang mampu mengelak godaan di pagar itu dan mereka akan memasuki neraka itu!!! ”
*Kisah ini adalah mengenai syarat untuk ke Syurga dan penyebab ke Neraka. Iktibar yang boleh diambil adalah betapa sukarnya untuk membuka jalan ke Syurga. Manakala betapa mudahnya manusia tewas dengan godaan nafsu sehingga di humban ke Neraka.
Sesungguhnya ganjaran tertinggi Allah kepada seseorang manusia adalah Syurga. Untuk ke Syurga bukannya jalan yang mudah. Seseorang itu perlu bermujahadah, beriman, bersabar dan ikhlas didalam beribadah kepada Allah.
Sesungguhnya amalan yang banyak tetapi tidak ikhlas tidak akan membuka jalan ke Syurga. Hanya mereka yang benar – benar ikhlas dan mukhlish akan dibukakan pintu Syurga untuknya. Manakala bagi mereka yang ingkar dan mengikut hawa nafsu akan dihumban ke dalam Neraka.

No comments:
Post a Comment