Katogeri

Monday, 15 December 2014

Imam, Makmum & Surah Al – Ikhlas


Pada suatu ketika, terdapat seorang Imam yang terlalu suka membaca surah Al – Ikhlas. Beliau membaca surah Al – Ikhlas setiap hari. Malah Imam itu selalu membaca surah Al – Ikhlas sewaktu mengimamkan solat lima waktu. 

Terutama sekali bagi tiga waktu yang wajib kuat bacaannya pada rakaat pertama dan kedua. Iaitu waktu Subuh, Maghrib dan Insyak. Selepas bacaan Al – Fatihah, pasti imam itu akan membaca surah Al – Ikhlas. 

Malah Imam itu membacanya pada kedua – dua rakaat dalam setiap solat. Akibat perlakuannya yang terlalu suka membaca surah Al – Ikhlas, sebahagian besar makmumnya mula berasa tidak puas hati. Ramai juga dikalangan makmum menegur Imam tersebut supaya membaca surah yang lain pula. Namun Imam itu tidak mempedulikannya. 

Beliau tetap dengan pendiriannya. Beliau tetap membaca surah kegemarannya. Oleh kerana teguran mereka tidak dihiraukan oleh Imam itu, makmum mula bersepakat untuk melaporkan perkara itu kepada Rasulrullah. 

Mereka berkumpul beramai – ramai, lalu pergi mengadap Rasulrullah. Mereka telah mengadu kepada Rasulrullah mengenai perkara itu. Setelah mendengar pengaduan daripada jemaah makmum tersebut, Baginda mengarahkan supaya mereka membawa Imam tersebut supaya datang berjumpa dengan baginda. 

Setelah beberapa hari kemudian, jemaah makmum telah mengadap Rasulrullah dengan membawa Imam tersebut bersama. Setelah itu, Rasulrullah terus bertanya Imam tersebut sambil diperhatikan oleh jemaah makmun yang turut hadir itu.

Rasulrullah : Benarkah kamu selalu membaca surah Al – Ikhlas apabila mengimamkan
mereka setiap rakaat selepas Al – Fatihah..?

Imam : Ya, wahai Rasulrullah.

Rasulrullah : Kenapa kamu selalu membaca surah Al – Ikhlas setiap kali kamu 
mengimamkan mereka...? Adakah kamu tidak tahu membaca surah – surah
yang lain...?

Imam : Aku selalu membaca surah Al – Ikhlas, kerana aku terlalu mencintai surah ini
Wahai Rasulrullah...

Rasulrullah : Jika begitu... apabila di Akhirat kelak nanti, surah ini akan memimpin kamu 
untuk masuk ke Syurga nanti....

Jemaah makmum itu terkejut apabila mendengar kata – kata Rasulrullah. Mereka menyangka Rasulrullah akan memarahi Imam itu, tetapi telah berlaku diluar dugaan mereka. Setelah peristiwa itu, barulah mereka menyedari kesilapan mereka. Mereka juga baru mengetahui bahawa surah Al – Ikhlas sangat besar manfaatnya. Sesiapa yang membaca tiga kali surah Al – Ikhlas, seolah – olah dia telah membaca seluruh ayat Al – Quran.

*Iktibar yang boleh kita ambil melalui kisah ini.... Kita tidak boleh mengkritik orang lain yang sudi menjadi ketua yang telus dalam apa jua bidang, apatah lagi imam didalam solat. Kita seharusnya menegurnya dengan baik jika seseorang imam membuat kesilapan. Jika seorang imam yang tidak sependapat dengan kita juga, harus ditegur dengan baik dengan menjaga hati dan maruahnya. Kerana tugas seorang imam adalah sangat mulia dan tinggi darjatnya disis agama.

Sesungguhnya, Surah Al-Ikhlas adalah surah yang paling dikasihi oleh baginda Rasulrullah S.A.W. Sangat banyak fadhilat kepada mereka yang selalu membaca surah Al – Ikhlas. Selalulah membacanya didalam kehidupan seharian, supaya menjadi amalan. Mudah – mudahan surah yang ringkas dan mudah dibaca ini menjadi suatu amalan didalam hidup kita. InsyaAllah, di Akhirat nanti akan diberi ganjaran yang sangat besar dan membantu kita menuju ke Syurga.

Thursday, 11 December 2014

Apabila Datangnya Kiamat


Daripada Hudzaifah Bin As-yad Al-Ghifari. Sewaktu para sahabat sedang berbincang, tiba – tiba datangnya Rasulrullah S.A.W lalu bertanya.

Rasulrullah : Apakah yang kamu semua sedang bincangkan?

Para Sahabat : Kami sedang berbincang tentang hari kiamat wahai kekasih Allah.

Setelah mendengar jawapan daripada Para Sahabatnya, lalu Rasulrullah bersabda.

Rasulrullah : Sesungguhnya kiamat tidak akan terjadi sebelum kamu melihat sepuluh tanda. Iaitu 

1. Asap

2. Dajjal 

3. Binatang keluar dari bumi 

4. Terbitnya matahari dari barat

5. Turunnya Nabi Isa A.S 

6. Keluarnya Yajjuj & Makjuj

7. Gerhana disebelah timur

8. Gerhana disebelah barat

9. Gerhana di Jazirah Arab

10. Keluarnya api dari Yaman yang akan menghalau manusia.


Asap akan memenuhi timur dan barat. Ia akan berlaku selama 40 hari. Apabila orang beriman terkena asap itu akan bersin seperti terkena selsema. Manakala orang kafir pula keadaannya seperti orang mabuk. Asap akan keluar dari hidung, telinga dan dubur mereka.

Dajjal adalah fitnah terbesar yang akan berlaku didunia ini sejak zaman Nabi Adam sehingga hari kiamat. Dajjal boleh melakukan apa sahaja perkara – perkara yang luar biasa. Perkara – perkara luar biasa inilah yang akan mengumpan manusia supaya kufur. Dajjal akan mendapat bantuan daripada syaitan untuk mengeliru dan menipu manusia. Ramai yang luntur iman mereka sehingga menjadi pengikut Dajjal ketika itu. Dajjal juga akan mendakwa dirinya sebagai tuhan. Sebelah matanya buta dan diantara kedua matanya tertulis perkataan ‘kafir’. Hanya orang yang beriman akan dapat membacanya, walaupun dia buta huruf ketika itu.

Binatang yang akan keluar dari perut bumi dikenali sebagai Dabatul Ard. Binatang ini akan keluar di Kota Makkah berhampiran dengan gugung Shafa. Dabatul Ard akan berbicara dengan kata – kata yang fasih dan jelas. Dabatul Ard ini juga akan membawa tongkat Nabi Musa dan memakai cincin Nabi Sulaiman. Apabila binatang ini memukul kepala orang yang beriman, akan tertulislah ‘ini orang beriman’ di dahinya. Apabila tongkat itu dipukul di kepala orang kafir akan tertilislah didahi orang itu, ‘ ini orang kafir’ didahinya.

Nabi Isa A.S akan turun ke bumi di negeri Syam di sebuah menara putih. Baginda yang akan membunuh Dajjal pada ketika itu. Kerana Imam Mahadi yang merupakan pemimpin umat Islam ketika itu tidak mampu untuk menentang Dajjal. Imam Mahadi berdoa kepada Allah supaya menghantar bantuan. Setelah berjaya membunuh Dajjal, Nabi Isa akan menjalankan syariat Nabi Muhammad S.A.W kepada umat manusia pada ketika itu.

Yakjuj & Makjuj pula yang akan keluar. Mereka terdiri daripada dua golongan. Satu golongan kecil dan satu lagi golongan yang besar. Yakjuj & Makjuj kini berada didalam perut bumi dibawah bendungan yang dibina oleh Iskandar Zulkarnain. Apabila keluarnya Yakjuj & Makjuj ini dengan bilangan yang sangat ramai. Tidak terhitung banyaknya. Mereka akan meminum air di Laut Tahatiah sehingga kering.

Rasulrullah telah bersabda. “Hari kiamat itu mempunyai tanda. Bermulanya dengan jualan yang tidak laris dipasar, sedikit hujan dan tumbuhan. Ghibah di merata – rata, riba menjadi kebiasaan, ramainya anak – anak zina, orang kaya diagung – agungkan, orang fasik bersuara lantang di masjid dan orang – orang mungkar lebih menonjol dari orang beriman.

Ali Bin Abi Talib juga pernah berkata. Akan tiba disuatu masa dimana Islam hanya tinggal namanya sahaja. Al Quran sekadar bacaan sahaja, masjid yang didirikan sunyi dari zikir dan Asma Allah. Orang – orang yang paling teruk adalah para ulamak. Mereka akan menimbulkan fitnah, tetapi fitnah itu akan kembali kepada mereka. Semua ini adalah tanda – tanda kiamat.

Diriwayat yang lain juga, Rasulrullah bersabda. “Apabila harta orang kafir yang dihalalkan tanpa perang dibahagikan secara bergilir – gilir. Amanat dijadikan seperti harta rampasan, zakat dijadikan pinjaman, belajar selain dari agama. Suami taat kepada isterinya, anak menderhakai ibu, lebih rapat dengan teman daripada bapanya. Suara – suara lantang didalam masjid, pemimpin yang dipilih dari kalangan orang yang fasik dan manusia dimuliakan kerana kejahatan yang dilakukannya. Kesemua perkara ini adalah tanda – tanda kiamat.”

Lapan Wasiat Berguna Sepanjang Zaman


Suatu ketika, Imam Hatim Al – Asam telah ditanya oleh gurunya iaitu Syaqiq Al Balkhi mengenai apa yang telah dipelajarinya selama ini stelah berguru dengannya. “Engkau telah belajar daripadaku selama 30 tahun lamanya. Apakah ilmu yang kamu perolehi daripada ku wahai Hatim?” Tanya gurunya. Lalu Imam Hatim Al – Asam menjawab, “Aku telah menghasilkan lapan faedah daripada segala yang telah aku pelajari dari tuan guru. Lapan faedah ini sudah memadai untukku. Kerana aku mengharapkan padanya keselamatan dan kesejahteraanku pada hari kiamat nanti. Lalu gurunya bertanya lagi, “Apakah lapan faedah itu wahai Hatim?” Lalu Imam Hatim Al – Asam memberitahu, Lapan faedah itu ialah :

Faedah Pertama 

Aku telah melihat pelbagai karenah manusia didunia ini. Aku mendapati kebanyakan mereka ini mempunyai sesuatu yang sangat mereka kasihi dan mengasyikkan mereka. Aku mendapati bahawa sebahagian yang mereka kasihi itu hanya menemani mereka ketika sakit sahaja. Ada pula yang menemani mereka sehingga ke dalam kubur. Manakala yang lainnya akan meninggalkan mereka dan tidak mahu menemani mereka itu sehingga ke dalam kubur. Setelah berfikir, akhirnya aku telah menemui jawapan. Sebaik – baik kekasih adalah kekasih yang anggup mengiringi dan menemani kita sehingga dalam kubur. Menjadi penghibur dan teman setia di alam kubur nanti. Tidak ada kekasih yang bersedia untuk berebuat demikian melainkan amal soleh. Maka aku menjadikan amal soleh sebagai teman dan kekasihku. Supaya ia dapat menerangi kuburku, menghiburkan hatiku dan sudah pasti ia tidak akan meninggalkan aku duduk bersendirian nanti.

Faedah Kedua

Aku melihat ramai manusia sentiasa mengikut hawa nafsu mereka. Mereka akan bersegera menunaikan apa jua kehendak nafsu. Lalu aku memikirkan tentang firman Allah yang bermaksud :

“Dan adapun orang yang takut akan berdiri dihadapan Tuhannya dan menahan nafsu daripada kehendak – kehendaknya maka orang ituakan dijadikan baginya syurga itu sebagai tempat tinggalnya.”
Surah An Nazi’at: 40-41

Melalui ayat ini lahirnya keyakinan di dalam hatiku bahawa Al – Quran itu adalah benar. Nafsu itu mesti dimusuhi, lalu aku menjadikannya sebagai musuh dan berjuang menentangnya. Aku tidak pernah memanjakannya sehingga ia tunduk kepadaku dan berpuas hati apabila ia mahu taat dan beribadat kepada Allah S.W.T.

Faedah Ketiga

Aku melihat ramai manusia berusaha untuk mengumpul harta benda dunia ini sebanyak – banyaknya. Sehingga mereka menjadi kedekut dan tidak mahu mengeluarkan zakat dan bersedekah. Lalu aku terfikir akan firman Allah yang bermaksud :

“Apa yang ada di sisimu itu akan habis dan pahala yang ada di sisi Allah itu kekal.”
Surah An Nahl :96

Setelah itu aku terus mengorbankan apa sahaja yang aku perolehi daripada harta dunia. Aku membahagikannya kepada fakir miskin, supaya harta benda itu menjadi pahala yang tersimpan di sisi Allah S.W.T.

Faedah Keempat

Aku dapati ramai dikalangan manusia menyangka bahawa kemuliaan dan keagungan itu adalah teletak pada jumlah kaum dan pengikut yang ramai. Sebenarnya mereka tertipu. Ramai juga dikalangan mereka menyangka bahawa kemuliaan dan keagungan terletak pada kekayaan dan pengaruh yang ramai. Lalu mereka berasa megah dan sombong. Malah ada juga dikalangan mereka menilai kemuliaan dan keagungan apabila banyak melakukan pembaziran dan keterlaluan dalam berbelanja. Lebih teruk lagi, ada dikalangan mereka menyangka kemuliaan dan keagungan itu apabila merampas hak orang lain secara zalim dan menumpahkan darah. Lalu aku memikirkan firman Allah yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah Taala itu ialah orang yang paling tinggi takwanya.”
Surah Al Hujurat : 13

Aku pun memilih jalan bertakwa kepada Allah untuk mendapatkan kemuliaan. Aku yakin dengan sepenuh hati apa yang disebutkan didalam Al – Quran itu adalah benar. Manakala sangkaan – sangkaan mereka yang aku sebutkan tadi adalah palsu belaka.

Faedah Kelima

Aku dapati ramai orang yang suka memaki – hamun dan mengumpat. Aku dapati hal ini berpunca daripada sifat hasad dengki dalam memiliki harta, kedudukan atau ilmu. Lalu aku berfikir akan firman Allah yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya Kami-lah yang membahagikan segala sumber kehidupan mereka di atas dunia ini”
Surah Az Zukhruf : 32

Setelah itu aku faham bahawa pembahagian segala nikmat itu adalah daripada Allah. Semuanya telah ditetapkan oleh Allah sejak azali lagi. Oleh itu, aku tidak pernah hasad dengki kepada sesiapa. Malah aku berasa puas hati dengan pembahagian dan ketetapan yang telah dilaksanakan oleh Allah S.W.T.

Faedah Keenam

Aku sering melihat manusia sering bermusuhan antara satu sama lain kerana sesuatu tujuan dan kerana pelbagai sebab. Lalu aku memikirkan firman Allah yang bermaksud :

“Sesungguhnya syaitan itu bagi kamu adalah musuh yang nyata. Kerana itu jadikanlah ia sebagai musuh.”
Surah Fathir : 6

Setelah itu aku dapat membuat kesimpulan bahawa kita tidak perlu bermusuh dengan sesiapa selain daripada syaitan.

Faedah Ketujuh

Aku melihat setiap orang bersungguh – sungguh dan berusaha dengan sepenuh tenaga untuk mencari makan sebagai sumber pendapatan. Kadang – kadang mereka terpaksa mengambil yang shubhat dan yang haram. Ada yang sanggup menjual diri dan maruah semata – mata untuk mendapatkannya. Lalu aku memikirkan firman Allah yang bermaksud :

“Dan tidak ada daripada suatu yang melata di atas muka bumi ini kecuali rezekinya telah dijamin oleh Allah Taala.”
Surah Hud : 6

Setelah itu aku memahami bahawa rezekiku di tangan Allah dan telah dijamin oleh Allah, lalu aku hanya sibuk mengerjakan ibadat kepada Allah. Aku menyerahkan segala harapanku hanya kepada Allah. Tidak berharap kepada makhluk selain hanya kepada Yang Maha Pencipta iaitu Allah S.W.T.

Faedah Kelapan

Aku melihat ramai manusia yang mempunyai pegangannya sendiri dalam sesuatu hal. Sebahagian daripada mereka menjadikan wang sebagai pegangan. Ada dikalangan mereka menjadikan harta dan kerajaan sebagai pegangan. Ramai juga yang menjadikan kemahiran atau pekerjaan sebagai pegangan mereka. Malah ada juga dikalangan mereka menjadikan hamba Allah sebagai pegangannya. Lalu aku mimikirkan firman Allah yang bermaksud :

“Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah pasti akan mencukupkannya, sesungguhnya Allah Taala itu mempersampaikan segala urusanNya. Dan sesungguhnya Allah Taala telah menjadikan bagi setiap suatu itu kadar yang telah ditentukan”
Surah At Thalaq : 3

Lalu aku terus bertawakal kepada Allah, maka Allah mencukupkan akan aku dan Allah itu adalah sebaik – baik tempat berserah diri.

Lalu gurunya berkata kepada Imam Hatim Al Asam :

“Semoga Allah sentiasa memberi taufik kepada mu. Sesungguhnya aku telah membaca Taurat, Injil, Zabur dan Al – Quran. Aku dapati isi keempat – empat kitab ini adalah berkisar kepada lapan permasalahan dan faedah yang telah engkau perkatakan tadi. Sesiapa yang beramal dengannya, hakikatnya dia telah beramal dengan keempat – empat kitab yang diturunkan oleh Allah.”


Tuesday, 9 December 2014

Wuduk Zahir & Batin Melahirkan Solat Yang Kusyuk


Isam Bin Yusuf merupakan seorang ahli ibadah yang sangat warak dan kusyuk solatnya. Namun, dia sering bimbang akan ibadahnya terutama mengenai solatnya. Demi memperbaiki solatnya yang dianggap kurang kusyuk, beliau mengambil keputusan untuk bertanya kepada orang yang lebih alim dan warak. 

Suatu ketika, Isam menghadiri majlis agama seorang yang kuat ibadah, alim lagi warak. Orang itu bernama Hatim Al-Isam. Setelah tamat majlis itu, Isam terus mendapatkan Hatim untuk mendapatkan sedikit pencerahan mengenai solat yang kusyuk. Terjadilah perbualan antara mereka berdua. 

Isam : Wahai Abu AbdulRahman, bagaimanakah caranya tuan menunaikan solat?

Hatim : Apabila masuk waktu solat, aku berwuduk zahir dan batin.

Isam : Bagaimana wuduk zahir dan batin itu wahai tuan?

Hatim : Wuduk zahir adalah sepertimana biasa yang kita lakukan iaitu membasuh anggota
wuduk dengan air. Manakala wuduk batin adalah membasuh anggota dengan tujuh
perkara. Pertama sekali adalah bertaubat. Kedua, menyesali dengan dosa yang
pernah dilakukan. Ketiga, tidak tergila – gilakan dunia. Keempat, tidak mencari atau
mengharapkan pujian iaitu Riak. Kelima, tinggalkan sifat berbangga – bangga.
Keenam, tinggalkan sifat khianat dan menipu. Manakala yang terakhir adalah
Meninggalkan sifat dengki.

Hatim meneruskan perbicaraannya, lalu berkata :

Hatim : Setelah itu aku pergi ke masjid, aku mengemaskan semua anggotaku dan mengadap
Kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan. Aku bayangkan Allah dihadapanku, 
Syurga disebelah kananku, neraka disebelah kiriku, Malaikat Maut berada dibelakang
Ku. Kemudian, aku bayangkan pula seolah – olah aku berdiri diatas titian ‘Sirratul 
Mustakim’. Aku juga menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhirku. 
Selepas itu aku berniat dan bertakbir dengan baik.
Setiap bacaan dan doa dalam solat aku faham maknanya.Kemudian aku rukuk dan 
sujud dengan tawaduk, bertasyahhud dengan penuh pengharapan. Aku memberi 
salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun.

Setelah mendengar semua penjelasan daripada Hatim yang begitu panjang, Isam menitiskan air mata. Isam merasakan ibadah solatnya kurang baik berbanding dengan Hatim. 

*Kita hendaklah sentiasa berusaha memperbaiki amalan kita. Terutama ibadah solat. Kerana Solat adalah ibadah yang paling utama. Jika sempurna ibadah solat kita, maka sempurnalah amalan yang lain. Manakala jika tertolak amalan solat, maka tertolaklah amalan – amalan kita yang lain di Akhirat nanti. 

Fitnah Yang Paling Dahsyat



Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu baginda banyak menyentuh mengenai fitnah Dajjal. Baginda S.A.W telah bersabda: “Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. 

Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.

Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Irak. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.

Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.

“Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.

Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: “Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?” Orang Arab itu akan berkata: “Tentu.” Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: “Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu.”

Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: “Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: “Siapa Tuhanmu?” Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: “Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah. Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga.”

Sabda Rasulullah S.A.W lagi: “Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak me-ngakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.

“Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.

“Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah.

Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah".

Dalam hadith yang lain: “Di antara fitnah atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu di satu tempat kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka tidak menjadi dan hujan pun tidak turun di daerah mereka. Kemudian dia lalu di satu tempat mengajak mereka supaya beriman kepadanya. Mereka pun beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan air dan tanam-tanaman mereka subur.”

Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah S.A.W bersabda: “Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai.”

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah S.A.W ada bersabda: “Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. 

Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu. Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi.”

Diriwayatkan oleh Ahmad, hadiTH yang diterima dari Aisyah r.a. mengatakan: “Pernah satu hari Rasulullah S.A.W masuk ke rumahku ketika aku sedang menangis. Melihat saya menangis Beliau bertanya: Mengapa menangis? Saya menjawab: Ya Rasulullah, engkau telah menceritakan Dajjal, maka saya takut mendengarnya. Rasulullah S.A.W berkata: Seandainya Dajjal datang pada waktu aku masih hidup, maka aku akan menjaga kamu dari gangguannya. Kalau dia datang setelah kematianku, maka Tuhan kamu tidak buta dan cacat.”

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah S.A.W bersabda: “Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada empat puluh hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa.”

Ada yang bertanya: “Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga?” Rasulullah S.A.W menjawab: “Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu itu.”

Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: “Akulah Tuhan sekalian alam, dan matahari ini berjalan dengan izinku. Apakah kamu bermaksud menahannya?” Katanya, sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan.

Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: “Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?” Mereka semua menjawab: “Ya, kami ingin." Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.

Menurut riwayat Muslim, Rasulullah S.A.W bersabda: “Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh. Saya sendiri pun tidak pasti apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah S.W.T mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas’ud dan kemudian membunuh Dajjal itu.”

Dan menurut ceritanya setelah munculnya Dajjal hampir semua penduduk dunia menjadi kafir, yakni beriman kepada Dajjal. Menurut ceritanya orang yang tetap dalam iman hanya tinggal 12,000 lelaki dan 7,000 kaum wanita.

Monday, 8 December 2014

Dunia Ada Akhirat Pun Ada...


Suatu ketika, seorang pemuda bercuti di sebuah desa. Dia sedang asyik mengambil gambar pemandangan yang indah di desa tersebut. Ketika sedang asyik mengambil gambar, dia terlihat seorang Pakcik dengan becanya yang sungguh cantik dan unik. 

Dia mendekati Pakcik itu untuk meminta izin bagi mengambil gambar beca Pakcik itu. Pakcik itu menyambutnya dengan mesra. Setelah bergambar mereka berborak panjang tentang sejarah didesa itu.

Ketika mereka sedang asyik berbual, tiba-tiba seorang wanita cantik lalu didepan mereka. Wanita itu memakai baju dan seluar yang sangat ketat sehingga menampakkan seluruh bentuk tubuhnya. Wanita itu juga tidak bertudung. 

Pakcik itu menggelengkan kepalanya. Pemuda itu hanya tersenyum dan hanya memerhati gelagat Pakcik itu. Setelah itu, lalu pula seorang Muslimah yang memakai jubah, bertekung malah memakai purdah. Sekali lagi Pakcik itu menggelengkan kepalanya. 

Pemuda itu agak kehairanan. Kenapa Pakcik itu mengggelengkan kepalanya juga melihat Muslimah itu? Tertanya Pemuda itu didalam hatinya. Baru sahaja pemuda itu hendak memulakan bicara, datang pula seorang perempuan yang lalu didepan mereka. Perempuan ini memakai baju dan seluar yang sendat.

Sehingga menampakkan bentuk tubuhnya. Tetapi Perempuan itu memakai tudung kecil menutupi rambutnya. Kali ini, Pakcik itu tersenyum dan menganggukkan kepalanya. Sekali lagi Pemuda itu berasa pelik dan hairan.

Lantas Pemuda itu terus bertanya kepada Pakcik itu akan situasi yang dilihatnya tadi. Kata Pakcik itu kepada Pemuda itu. “ Wanita yang berpakaian, berseluar ketat dan tidak bertudung itu terlau duniawi. Manakala muslimah yang berjubah, bertelekung dan berpurdah itu terlalu akhirat. Manakala perempuan yang memakai baju dan seluar yang sendat tetapi bertudung itu okay... dunia ada... akhirat pun ada....”

*Syaitan akan berusaha menipu manusia walaupun dengan hanya pandangan mata. Syaitan akan berusaha memperlihatkan yang batil itu elok, indah dan senang dipandang mata. Sehingga ramai manusia tertipu dengannya. Sehingga mereka terlupa apa yang dipandang adalah batil belaka. Sepertimana kisah diatas... mereka terlupa akan sabda Rasullullah S.A.W bahawa dikahir zaman wanita akan berpakaian tetapi bertelanjang.....

Antara Jalan Ke Syurga & Ke Neraka


Ketika Allah S.W.T selesai menciptakan Syurga dan Neraka. Allah berfirman kepada Malaikat Jibril.

“Wahai Jibril, pergilah ke Syurga dan lihatlah apa yang telah aku persiapkan untuk penghuni – penghuninya disana!!!” 

Malaikat Jibril memenuhi perintah Allah. Setelah beberapa waktu kemudian Jibril datang mengadap Allah. Lalu Jibril berkata. 

“Ya Allah, demi Keagungan Mu, sesungguhnya tidak seorangpun yang pernah mendengar tentang syurga tersebut. Kecuali mereka sangat ingin memasukinya.”

Kemudian Allah memerintahkan seorang Malaikat yang lain supaya memagari Syurga itu. Pagar tersebut dihiasi dengan perkara – perkara yang tidak disukai dan pelbagai amalan ibadah yang wajib dilakukan sebagai syarat untuk menghuninya.

Setelah semua itu selesai, Allah sekali lagi memerintahkan Malaikat Jibril supaya melihat keadaan Syurga yang dipagari itu. Ketika Malaikat Jibril mengadap Allah, dia berkata. 

“Demi segala keagungan Mu ya Allah, aku bimbang tidak ada seorangpun yang layak untuk memasuki Syurga itu.”

Setelah itu, Allah berfirman lagi kepada Malaiakat Jibril. 

“Wahai Jibril, pergilah pula ke Neraka dan lihatlah apa yang telah aku persiapkan kepada penghuni – penghuninya disana!!!” 

Malaikat Jibril terus memenuhi perintah Allah. Setelah sampai ke Neraka, dia melihat api Neraka sedang menerkam antara satu sama lain dengan ganas sekali. Seberapa ketika kemudian, Malaikat Jibril mengadap Allah dan berkata. 

“Ya Allah, demi segala Keagungan Mu tidak ada seorang pun yang pernah mendengar tentangnya. Kecuali tersangat ingin lari dari Neraka tersebut,”

Kemudian sekali lagi Allah memerintahkan seorang Malaikat yang lain Supaya memagari Neraka itu. Pagar tersebut dihiasi dengan perkara – perkara yang disukai oleh nafsu syahwat dan pelbagai kesenangan yang terlarang dengan hukum syarak. Setelah selesai semua itu, Allah memerintah Jibril sekali lagi supaya megunjungi Neraka yang berpagar itu.

Ketika kembali ke hadapan Allah, Jibril berkata. 

“ Demi segala Keagungan Mu ya Allah, aku bimbang tidak ada seorangpun yang mampu mengelak godaan di pagar itu dan mereka akan memasuki neraka itu!!! ”

*Kisah ini adalah mengenai syarat untuk ke Syurga dan penyebab ke Neraka. Iktibar yang boleh diambil adalah betapa sukarnya untuk membuka jalan ke Syurga. Manakala betapa mudahnya manusia tewas dengan godaan nafsu sehingga di humban ke Neraka.

Sesungguhnya ganjaran tertinggi Allah kepada seseorang manusia adalah Syurga. Untuk ke Syurga bukannya jalan yang mudah. Seseorang itu perlu bermujahadah, beriman, bersabar dan ikhlas didalam beribadah kepada Allah.

Sesungguhnya amalan yang banyak tetapi tidak ikhlas tidak akan membuka jalan ke Syurga. Hanya mereka yang benar – benar ikhlas dan mukhlish akan dibukakan pintu Syurga untuknya. Manakala bagi mereka yang ingkar dan mengikut hawa nafsu akan dihumban ke dalam Neraka.

Sunday, 7 December 2014

Tujuh Rombongan Iblis Disaat Sakaratul Maut


Syaitan dan iblis akan sentiasa berusaha mengganggu manusia. Bermula dengan terjadinya setitik air mani sehinggalah akhir hayat seseorang manusia. Mereka tidak akan berputus asa dalam menyesatkan manusia. Malah, syaitan dan iblis lebih mengenali seseorang manusia berbanding manusia itu sendiri. 

Ini kerana, mereka akan terus berada dengan seseorang manusia sejak manusia itu didalam rahim ibunya lagi. Mereka mempunyai perancangan yang sangat rapi dalam usaha mereka untuk menyesatkan seseorang manusia. Namun, gangguan yang paling dahsyat adalah saat akhir hayat manusia iaitu ketika sakaratul maut. Iblis akan menyusun rombongan mereka kepada tujuh rombongan. Rasurullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud :

“Ya Allah, Aku berlindung dengan Mu daripada perdaya syaitan di waktu maut.”

Disini akan mendedahkan ketujuh – tujuh rombongan iblis dan syaitan ini disaat sakaratul maut seseorang manusia. Mudah – mudahan dengan sedikit perkongsian dan pendedahan ini akan memberi peringatan untuk kita bersama. Sentiasalah taat akan perintah Allah dan selalulah bermohon kepada Allah agar diselamatkan daripada tipu daya iblis dan syaitan, terutama disaat sakaratul maut nanti. Rombongan – rombongan iblis dan syaitan yang dilaknat itu ialah :

Rombongan Pertama 

Iblis akan datang dengan sangat ramai bilangannya. Mereka datang pelbagai rupa yang pelik seperti emas dan perak. Mereka juga datang dengan makanan dan minuman yang lazat – lazat. Jika seseorang yang berada didalam sakaratul maut itu semasa hidupnya sangat tamak kepada benda – benda seperti itu, maka diraba dan disentuh barangan iblis itu, diwaktu roh keluar dari tubuhnya. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah. Jika mati didalam keadaan ini, dinggap mati dalam keadaan fasik dan munafik. Nerakalah tempatnya nanti.

Rombongan Kedua

Jika rombongan pertama gagal memperdaya. Akan muncul pula rombongan yang kedua. Iblis akan datang dalam rupa binatang yang buas dan ditakuti seperti Harimau, Singa, Ular dan Kala Jengking yang berbisa. Apabila seseorang manusia yang berada didalam sakaratul maut itu melihat binatang – binatang itu, dia akan meraung sekuat hati. Ketika itu juga akan putuslah nyawa dari badannya. Mati yang seperti ini juga adalah mati dalam keadaan fasik dan munafik. Neraka juga akan menanti orang yang mati dalam keadaan ini.

Rombongan Ketiga

Iblis akan datang mengacau dan memperdaya orang yang berada didalam sakaratul maut dengan berupa binatang kesukaan pula. Jika orang yang nazak itu minat dengan burung, iblis akan menyerupai burung. Jika berminat dengan kuda lumba judi, iblis akan menyerupai kuda lumba itu dihadapan orang yang sedang nazak itu. Jika orang yang nazak itu berminat dengan burung, iblis akan berupa burung yang sangat cantik dihadapannya. Pendek kata, iblis akan berupa binatang mengikut orang nazak itu sukai. Jika orang yang sedang nazak itu tertipu dengan rombongan ketiga ini, maka matinya adalah dalam keadaan lalai kepada Allah. Mati dalam keadaan ini juga adalah mati yang fasik dan munafik. Sangat malang, orang yang mati dalam keadaan ini akan dicampakkan ke dalam Neraka.

Rombongan Keempat

Iblis akan datang dalam rupa yang dibenci oleh orang yang sedang nazak itu. Iblis akan berupa seperti musuh si nazak itu. Orang yang sedang nazak itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu terhadap iblis yang berupa musuh yang dibencinya itu. Pada saat itu juga maut akan datang menjemputnya. Mati seperti ini juga adalah mati yang lalai kepada Allah. Oleh itu, untuk mengelakkan daripada tertipu dengan kedaan seperti ini di saat sakaratul maut nanti adalah kemaafan. Apabila kita memaafkan setiap orang yang menzalimi kita, maka kita akan bebas daripada dendam.

Rombongan Kelima

Kali ini Iblis akan datang dalam rupa sanak saudara si nazak itu. Seperti ayah, ibu dan adik – beradiknya. Ayah dan ibu yang datang dengan membawa makanan dan minuman. Sedangkan orang yang sedang sakaratul maut berada dalam keadaan yang sangat lapar dan dahaga. Iblis yang berupa Ayah dan ibunya itu akan menghulurkan makananan dan minuman itu sambil merayu. “Wahai anakku inilah makanan dan bekalan yang kami bawa untuk mu. Berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami. Menyembah tuhan yang kami sembah supaya kita tidak terpisah nanti. Marilah kita bersama – sama masuk syurga. Jika si nazak itu mengikut pelawaan itu, maka terhapuslah segala amalan diwaktu hidupnya. Matinya dalam keadaan kafir dan neraka tempatnya.

Rombongan Keenam

Iblis akan datang dalam keadaan berupa ulamak – ulamak yang membawa banyak kitab. Iblis yang menyamar ulamak itu akan berkata, “Wahai muridku, sudah lama akau menunggu mu. Banyak tempat kami pergi, rupanya kamu sedang sakit disini. Jadi kami membawa doktor dan bomoh beserta ubat untuk merawatmu disini. Lalu diminumnya ubat itu, hilanglah sakit yang dialaminya. 

Kemudian sakit itu datang kembali. Lalu datang lagi Iblis yang menyamar ulamak tadi dengan berkata, “Kali ini kami datang memberi nasihat agar kamu mati dalam keadan baik. Tahukah kamu hakikat Allah? Si nazak itu menjawab tidak tahu. Iblis menyamar ulamak itu meneruskan kata – katanya, “ Aku adalah seorang ulamak yang tinggi dan hebat. Baru sahaja kembali dari alam ghaib dan mendapat syurga yang tinggi. 

Cuba lihat syurga yang telah disedikan untukmu. Kalau kamu hendak tahu Zat Allah, hendaklah patuh kepada kami.” Ketika itu orang yang sedang nazak memandang ke kiri dan kanan. Dilihatnya sanak – saudaranya semua berada didalam Syurga. (Syurga palsu yang telah dibentangkan oleh iblis untuk menipu si nazak itu.) 

Orang yang nazak itu lalu bertanya, “Bagaimana Zat Allah itu?” Iblis merasa gembira kerana jeratnya telah mengena. Lalu berkata Iblis yang menyamar Ulamak itu, “Tunggu, sebebtar nanti dinding dan tirai akan dibuka kepada mu.” Apabila tirai yang bewarna warni itu dibuka selapis demi selapis, orang yang sedang nazak itu dapt melihat benda yang sangat besar. Lebih besar dari bumi dan langit. Dia pun tertipu dengan tipu daya syaitan yang membinasakan.

Rombongan Ketujuh

Rombongan iblis yang ketujuh ini terdiri dari 72 barisan. Benarlah Iktikad Nabi Muhammad S.A.W bahawa umat Muhammad akan terbahagi kepada 73 puak (barisan). Hanya satu puak sahaja yang benar, iaitu Ahli Sunnnah Waljamaah. Manakala 72 lagi berada di jalan yang sesat dan akan di humban ke dalam neraka. Iblis akan mengacau dan mengganggu anak adam dengan 72 cara yang setiap satu berlaianan sewaktu manusia berada dalam sakaratul maut. Bayangkan manusia akan dihayut dengan 72 cara yang berbeza pada waktu yang sama. Hasutan dan gangguan ini bersilih ganti. Mereka tidak akan berputus asa sehungga seseorang manusia itu terpisah rohnya dari jasadnya.


*Hendaklah kita sentiasa memohon pertolongan daripada Allah agar diselamatkan daripada tipuan syaitan semasa sakaratulmaut. Perbanyakkanlah zikrullah, membaca Al – Quran, berselawat kepada Rasulrullah S.A.W dan bermacam perkara amal makruf yang lain. Mudah – mudahan dengan amalan – amalan ini akan membantu kita disaat roh kita hampir terpisah dengan jasad. Selain itu, 
kita hendaklah membantu orang yang sedang menghadapi sakaratul maut. 
Kita hendaklah selalu mengajarkan seseorang yang sedang nazak dengan talkin. Khalimah “La Ilaha Illallah" (Tiada Tuhan Yang Disembah Selain Allah)” hendaklah sentiasa dibisikkkan ditelinga orang yang sedang nazak untuk menyelamatkannya daripada gangguan syaitan yang bersungguh – sungguh untuk menyesatkan manusia. Bersesuaian dengan sebuah hadith yang bermaksud : “Ajarkan oleh kamu (orang yang masih hidup )kepada orang yang hampir mati itu, “La Ilaha Illallah.”

Ganjaran Sedekah Sepotong Daging


Diceritakan pada suatu ketika Abdullah Bin Jaafar telah keluar bermusafir. Ketika beliau singgah disebuah kebun kurma milik seseorang, dia berhenti untuk berehat. Didapatinya disitu ada seorang hamba abdi berkulit hitam yang menjaga kebun kurma tersebut.

Ketika itu hamba abdi itu mengeluarkan bekalnya untuk makan yang berupa tiga potong daging. Tiba - tiba seekor anjing datang menghampirinya dan berpusing - pusing berhampiran si hamba abdi sambil menyalak kerana terliur melihat potongan daging si hamba abdi itu. Lidahnya pun dijelir - jelirkannya keluar.

Hamba abdi yang baik hati itu mencampakkan sepotong daging kearah anjing itu dan dimakannya. Kemudian dicampakkannya pula sepotong lagi dan dimakannya pula. Ternyata anjing itu masih belum mahu lari juga.

Maka hamba abdi itu mencampakkan makanannya untuk kali yang ketiga dan makanannya dimakan lagi. Maka habislah semua bekal si hamba abdi itu kerana dia memberikan semua bekal makanannya kepada anjing itu tadi.

Abdullah Bin Jaafar yang sejak tadi memerhati keadaan itu berasa sangat hairan, kerana si hamba abdi itu telah memberikan semua bekal makanannya kepada anjing. Lalu dia memulakan perbualan.

Abdullah Bin Jaafar : Wahai anakku, berapa banyakkah makananmu sehari ditempat ini..?

 Hamba Abdi : Hanya tiga potong daging yang dimakan anjing tadi, wahai tuan.

Abdullah Bin Jaafar : Mengapa engkau berikan semua kepada anjing itu? Engkau sendiri akan makan apa nanti...?

Hamba Abdi : Wahai tuan. Tempat ini bukanlah kawasan anjing. Jadi aku yakin dia datang dari tempat yang jauh, sedang bermusafir dan tentu  dia sangat lapar. Sedang aku sendiri, biarlah tidak makan hari ini sampai hari esok. Aku tak kisah.

 Abdullah Bin Jaafar : “Subhanallah. Bagus.... bagus. Ternyata kamu lebih dermawan daripada aku....”

Kerana rasa terharunya dan merasa kedermawanannya masih dikalahkan oleh seorang hamba abdi yang hitam, Abdullah Bin Jaafar membeli kebun kurma dan hamba abdi itu dari tuannya. Kemudian dia memerdekakan si hamba abdi dan kebun kurma itu diberikan kepada hamba abdi itu sebagai hadiah. Setelah itu, dia pergi meninggalkan tempat itu untuk meneruskan perjalanannya.

*Iktibar yang  boleh kita ambil melalui kisah ini adalah mengenai sifat dermawan dan sedekah. Sesungguhnya sifat dermawan adalah sangat dikasihi oleh Allah S.W.T. Malah, sesiapa yang menderma, Allah akan membalas ganjaran yang berlipat kali ganda dari arah yang tidak disangka – sangka. Mungkin nilai sedekah yang kita lakukan adalah sangat kecil nilainya pada pandangan manusia. Namun ia sangat besar nilainya disisi Allah bagi mereka yang benar - benar ikhlas.


Selain itu juga, belas ihsan terhadap haiwan adalah sangat besar ganjarannya di sisi Allah. Sifat mengasihani terhadap sesama makhluk adalah dituntut oleh agama walaupun terhadap seekor anjing.

KERANA SEBUAH KOTAK


Seorang Pegawai Jabatan Masyarakat pernah menceritakan satu kisah yang pernah berlaku semasa beliau pernah bertugas di sebuah Yayasan Orang-Orang Tua. Seorang pakcik tua merupakan salah seorang penghuni Rumah Orang – Orang Tua. Pakcik ini sentiasa bersama dengan sebuah kotak yang dipegangnya. 

Kemana sahaja dia pergi, kotak itu pasti bersamanya. Samada ketika tidur, didalam tandas mahupun bersolat. Tidak ada seorang pun penghuni lain mengetahui apakah barang yang ada didalam ‘kotak keramatnya’ itu.

Suatu hari, pakcik itu jatuh sakit. Pegawai itu telah menghubungi anaknya untuk memaklumkan keadaan pakcik itu yang sangat uzur. “kalau awak call saya untuk bagi tahu pasal benda ni, baik tak payah call.....” itulah jawapan daripada anak pakcik itu.

Setelah beberapa lama, pakcik tadi meninggal dunia. Sekali lagi pegawai itu menghubungi anak pakcik tersebut. “takpelah encik tolong uruskan ajelah....” belum sempat habis Pegawai tadi bercakap, anak pakcik itu telah pun memutuskan talian. 

Pegawai itu menghubunginya sekali lagi. Pegawai itu memberitahu akan sebuah kotak yang selalu dibawa oleh arwah pakcik itu. Sebaik sahaja dapat tahu mengetahui tentang kotak itu, anak pakcik itu terus bersetuju untuk pergi ke rumah orang-orang tua. “encik jangan sesekali buka kotak itu sebelum saya membukanya....” pesan anak pakcik itu.

Selang beberapa jam,anak pakcik itu tiba. Dia terus mendapatkan kotak peninggalan itu tanpa mempedulikan jenazah ayahnya. Setelah membuka kotak itu, dia mendapati hanya terdapat beberapa keping gambar.

Gambar-gambar itu adalah gambar dia dan arwah ibunya. Anak pakcik itu terus menghempaskan kotak itu. “kalau hanya kerana benda ni, encik tak payah la call saya... buang masa saya aje... dah la saya terpaksa datang jauh dari ibu kota....” kata anak pakcik itu tanpa menunjukkan reaksi muka seolah-olah tidak ada perasaan sedikitpun.

‘Apabila manusia mengikut kehendak nafsu.... manusia itu akan hanya memikirkan tentang dirinya sahaja.... akan mementingkan diri... tanpa mempedulikan orang lain.... sanggup mengenepikan bapa... ibu... anak dan keluarga.... apabila nafsu menguasai diri... manusia akan bertukar menjadi setan.... malah lebih teruk dan hina daripada setan itu sendiri....’


Wednesday, 3 December 2014

Kaki Botol & Wali Allah


Kisah ini berlaku di Bashrah, seorang kaki botol atau pemabuk telah meninggal dunia. Isterinya telah mengkhabarkan tentang kematiannya kepada jiran tetangganya. Namun mereka langsung tidak mempedulikannya dan tidak mahu mengurus jenazahnya. Akhirnya isterinya terpaksa mengupah empat orang pemuda untuk memandi dan mengkhafankan jenazah kaki botol itu.

Selepas selesai memandi dan mengkhafankan jenazahnya, keempat – empat orang yang diupah isterinya telah membawa jenazahnya ke masjid. Tetapi setelah lama menunggu, tidak ada seorangpun penduduk kampung yang datang untuk menyembahyangkan jenazahnya. Beberapa orang yang mengetahui hanya melihat dan tidak memperdulikannya setelah mengetahui gerangan si mati itu.

Empat orang pemuda yang diupah itu tidak pandai untuk menyembahyangkan jenazah. Mereka menjadi serba salah. Oleh kerana tidak tahu menguruskan jenazah itu, isterinya itu menyuruh keempat – empat orang pemuda itu membawa jenazahnya ke pinggir hutan dan menguburkannya disana. 

Tidak jauh dari hutan tersebut, terdapat sebuah bukit. Disana ada seorang yang soleh dan sangat zuhud telah menyendiri untuk beribadah kepada Allah. Dia tidak pernah turun dari bukit itu dan berkumpul dengan masyarakat kecuali untuk solat jumaat.

Entah kenapa, dengan tiba – tiba dia telah turun dan telah menziarahi jenazah pemabuk itu. Pada ketika itu, kubur sedang digali oleh kempat – empat pemuda yang diupah. Orang soleh itu menyembahyangkan jenazah pemabuk itu dan menunggu untuk mengebumikan jenazah.

Turunnya orang soleh itu dari tempat ‘pertapaan’nya telah menjadi berita yang menggemparkan kepada masyarakat sekitarnya. Penduduk kampung berasa hairan dan takjub. Lalu mereka berduyun – duyun pergi ke pinggir hutan itu. Ketua Kampung telah menghampiri dan bertanya kepada orang soleh itu.

Ketua Kampung : Wahai tuan, kenapa kamu menyembahyangkan jenazah orang ini?
Tidakkah kamu tahu bahawa dia ini seorang pemabuk dan begitu banyak dosanya terhadap Allah?

Orang Soleh : Aku telah mendapat ilham supaya turun ke pinggir hutan ini dan 
meyembahyangkan jenazah seseorang yang telah diampun dosanya oleh Allah. Malah aku dapat tahu, tidak ada seorang pun yang sudi menguruskan jenazahnya. Hanya isterinya seorang sahaja yang 
menguruskan jenazahnya.

Orang – orang kampung terkejut dan kehairanan apabila mendengar jawapan daripada orang soleh itu. Kerana setahu mereka, pemabuk itu tidak pernah melakukan sebarang kebaikan. Mereka tidak pernah melihat pemabuk itu melakukan perkara baik sepanjang mengenali pemabuk itu. Apabila orang soleh itu melihat orang – orang kampung kebingungan, dia memanggil isteri pemabuk itu untuk mendapatkan kepastian.

Orang Soleh : Apakah amalan dan perilaku suamimu yang sebenarnya, sepanjang hidupnya?

Isteri Pemabuk : Seperti semua orang tahu. Dia adalah seorang kaki botol. Dia banyak
membuang masa minum arak di kedai – kedai arak. Apabila pulang kerumah dia dalam keadaan mabuk dan tidak sedarkan diri. Tetapi dia seringkali bangun awal dan solat subuh. Tetapi pada pagi harinya dia akan kembali mabuk di kedai – kedai arak seperti biasa. Tetapi dia sangat menyayangi anak – anak yatim melebihi anaknya sendiri.
 Dia selalu membawa pulang anak – anak yatim kerumah. Paling kurang dua orang, untuk diberi makan dan pakaian baru. Sebelum dia meninggaldunia, diwaktu sepertiga malam aku terdengar dia menangis dan merintih kepada Allah. ‘Ya Allah, neraka manakah yang Engkau akan tempatkan manusia yang berdosa dan hina seperti aku Ini...?’

Orang Seleh : Sungguh Maha Luas Kasih Sayang Allah. Mungkin kerana sedikit kebaikan yang dilakukannya, tetapi penuh dengan ketelusan. Serta merasa rendah diri dan hina dihadapan Allah. Malah berkat kesabarannya menanggung penghinaan dan sindiran dari masyarakat telah mengundang rahmat dan keampunan dari Allah!!

Setelah mendengar penjelasan daripada orang soleh itu, mereka berasa sangat malu dan bersalah. Mereka beramai – ramai memohon maaf daripada isteri si mati. Malah semua penduduk kampung bekerjasama untuk menyembahyang dan menguburkan jenazah.

*Kita tidak boleh menilai atau menghukum seseorang dari segi luaran semata – mata. Kerana kita tidak tahu semua amalan dan perbuatan seseorang disepanjang hidupnya. Walau sejahat manapun tingkah laku seseorang itu, kita tidak berhak menghinanya. Kerana Rahmat Allah adalah kehendak Allah semata – mata. Hanya Allah yang mengetahui siapa yang berhak menerimanya. Sebagai salah seorang ahli didalam masyarakat juga, kita seharusnya menjadi seorang yang prihatin. Kita seharusnya sentiasa bersedia memberi bantuan kepada sesiapa sahaja, tanpa memilih keturunan, pangkat dan nama.
                             

Hukuman Bunuh Yang Paling Indah


Semasa Pemerintahan Sayidina Umar Al – Khattab ada seorang pemuda yang bernama Hassan. Suatu hari dia keluar dari kampungnya dengan menunggang seekor unta untuk membuat satu perjalanan yang jauh. Setelah lama menunggang, dia keletihan lalu turun dari untanya dan bersandar disebatang pokok lalu tertidur. Setelah dia tersedar dari tidurnya dia mendapati untanya tidak ada. Dia terburu – buru mencari untanya. 

Dalam keadaan mamai, cemas dan bimbang itu Hassan terjumpa untanya, tetapi telah mati. Alangkah terkejutnya Hassan. 

“Pakcik yang membunuhnya. Tetapi bukan sengaja. Unta ini telah memakan tanaman pakcik, jadi pakcik lontar batu kecil. Kena betul – betul dikepalanya. Tiba – tiba unta itu rebah lalu mati.” Kata seorang tua yg berada disitu.

Hassan dalam keadaan binggung kerana terkejut dari tidur. Tiba – tiba mencabut pedangnya dan dihayun kearah orang tua itu dan terpenggallah lehernya dari badan. Hassan seakan – akan tersedar dari mimpi dan menyesal yang amat sangat. Lalu Hassan mencari keluarga simati dan menceritakan segala – galanya. Dua orang anak lelaki kepada orang tua itu terus membawa Hassan kepada Amirul Mukminin hari itu juga. Hassan dihadapkan ke mahkamah pengadilan dengan dihadiri beberapa orang Sahabat, pembicaraan dijalankan.

Setelah mendengar pengakuan Hassan sendiri, Sayidina Umar selaku hakim telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hassan. Mendengar hukuman itu, Hassan berkata :

“Demi Allah, saya lebih sanggup dibunuh didunia daripada mendapat hukuman Neraka di Akhirat. Tetapi wahai Amirul Mukminin, saya minta ditangguhkan hukuman beberapa hari kerana saya hendak pulang memberitahu keluarga saya tentang perkara ini.Mereka semua belum tahu dan kerana jauhnya dari sini tentu mereka tidak akan tahu kalau saya tidak memberitahunya.” 

Sayidina Umar tidak dapat memperkenannya jika tidak ada penjamin. Walaupun Hassan merayu, tetapi Sayidina Umar tetap bertegas. Akhirnya seorang Sahabat bernama Abu Zar bangun dan berkata:

“Walaupun saya tidak mengenali saudara Hassan, namun atas nama Sahabat Rasulullah, saya minta tuan hakim memperkenanakan permohonan Hassan. Jika dia tidak datang pada hari hukumannya, maka biarlah saya dihukum.” Dengan jaminan itu, maka Hassan pun dibenarkan pulang ke kampungnya.

Setelah beberapa hari, maka tibalah hari penghukuman untuk dijalankan. Semua orang berkumpul termasuk Abu Zar sebagai penjamin Hassan. Tetapi kelibat Hassan tidak pun kelihatan. Semua orang kelihatan cemas. Abu Zar kelihatan sudah bersedia untuk menggantikan tempat Hassan kerana beliau adalah penjaminnya.

Dalam suasana yang sangat cemas yg memuncak. Tiba - tiba semua yang hadir ternampak kuda pacuan yang berlari degan kencang menuju ke tempat itu. Setelah melihat kelibat penunggang kuda itu adalah Hassan, mereka berteriak, “Allahhuakbar! Allahhuakbar! Allahhuakbar!” 

Suasana bertukar menjadi sedih dan terharu. Bertapa jujurnya anak muda Hassan memegang janjinya sekalipun nyawanya akan melayang. Sebaik turun dari kudanya, Hassan mengadap tuan hakim dan kerkata :

“Demi Allah, saya tidak berniat untuk datang lewat. Tali kuda saya putus ditengah padang pasir. Setelah berusaha keras, Alhamdulillah saya dapat menyambungnya dan dapat hadir ke sini “. Setelah itu Hassan meminta izin dengan Sayidina Umar untuk solat dua rakaat dan Sayidina Umar mengizinkannya.

Selesai solat, Hassan berdoa “Ya Allah ampunkanlah keterlanjuranku didunia dan Akhirat.” Setelah selesai, Hassan bersedia. Pedang telah diletakkan dilehernya. Hanya menunggu arahan darpada Sayidina Umar. 

Tetapi pada saat genting itu, tiba2 kedua2 anak lelaki simati itu telah mengadap tuan hakim dan berkata :

“kami telah menyaksikan kejujuran saudara Hassan. Kami telah saksikan keberanian serta kasih sayang Abu Zar yang sanggup menjadi penjamin hukuman bunuh kepada orang yang tidak dikenalinya. Kami juga menyaksikan ketegasan dan keadilan Tuan Amirul Mukminin didalam menjalankan hukuman. Hasilnya, kami memperolehi kekuatan untuk meredhakan kematian ayah kami dengan memaafkan Hassan. Lepaskanlah saudara Hassan daripada hukuman ini Wahai Amirul Mukminin.” 

Mendengar itu, sekali lagi padang itu bergema dengan laungan, Allahhuakbar! Allahhuakbar! Allahhuakbar!” Mereka bersyukur kerana terampunnya seorang saudara mereka daripada hukuman didunia dan di Akhirat...

Tuesday, 2 December 2014

Tiga Soalan Dijawab Penampar


Kisah seorang pemuda yang belajar di luar negara sekian lama telah kembali ke tanah airnya. Sesampainya dirumah dia meminta orang tuanya supaya mencari seorang guru agama kerana dia sangat berhajat untuk bertanya tiga soalan yang sering bermain difikirannya dan dia memerlukan seseorang yang sangat alim untuk menjawab soalannya itu. Setelah beberapa lama, orang tuanya telah mendapatkan seorang guru agama dikampungnya itu. Setelah diatur pertemuan, pemuda itu pun beretemu dengan guru agama tersebut dan berlakulah dialog diantara mereka.

Pemuda : Anda siapa? Adakah anda boleh menjawab pertanyaan - pertanyaan saya nanti? 


Guru Agama : Saya hamba Allah dan dengan izin Allah saya akan mampu menjawab soalan saudara. 

Pemuda : Anda yakin? Kerana sudah ramai profesor dan ramai bijak pandai yang tidak mampu menjawab solan saya. 

Guru Agama : InsyaAllah, Saya akan menjawab mengikut kemampuan saya.

Pemuda : Saya punya 3 pertanyaan.....

Pertama, kalau memang Tuhan itu ada, tunjukkan kewujudan Tuhan kepada saya....?

Kedua, apakah yang dinamakan takdir...?

Ketiga, kalau syaitan diciptakan dari api, kenapa dimasukkan ke dalam Neraka yang dibuat dari api, tentu tidak menyakitkan syaitan, sebab mereka dari unsur yang sama... Apakah Tuhan tidak pernah berfikir sejauh itu?

Tiba - tiba Guru Agama itu menampar pipi si Pemuda dengan keras lagi menyakitkan. Sambil menahan kesakitan, Pemuda itu berkata :


Pemuda : Kenapa anda marah kepada saya? Kenapa tampar saya...?

Guru Agama : Saya tidak marah... Penampar itu adalah jawapan untuk ketiga - tiga pertanyaan yang anda ajukan kepada saya...”

Pemuda : Saya Sungguh - sungguh tidak faham... Apa maksud anda..?

Guru Agama : Bagaimana rasanya penampar saya... tentu sangat sakit bukan...?

Pemuda itu hanya menganggukkan kepala.

Guru Agama : Jadi anda percaya bahawa sakit itu ada?


Pemuda itu menggangguk kepala tanda percaya.

Guru Agma : Tunjukkan kepada saya wujud sakit itu! 

Pemuda : Tak boleh, tuan...

Guru Agama : Itulah jawapan yang pertama, kita boleh merasai kewujudan Tuhan, tetapi kita tidak mampu melihat kewujudannya. Terang Guru Agama.

Guru Agama : Adakah malam tadi anda bermimpi anda bermimpi akan ditampar oleh saya hari ini..?


Pemuda : Tidak tuan... 

Guru Agama : Adakah anda terfikir yang saya akan tampar anda setelah bertanya...? 

Pemuda : Tidak juga tuan...

Guru Agama : Itulah yang dinamakan takdir... Terang Guru Agama. Guru Agama meneruskan pertanyaannya.

Guru Agama :Tangan saya ini diperbuat daripada apa untuk menampar anda sebentar tadi...? 

Pemuda : Kulit tuan... 

Guru Agma : Bagaimana rasanya penampar saya...? 

Pemuda : Sangat sakit tuan...

Guru Agama : Walaupun syaitan diperbuat daripada api, jika Tuhan berkehendak maka Neraka akan menjadi tempat yang sangat menyakitkkan bagi syaitan wahai anak muda....” terang Guru Agama.

Pemuda itu pulang dengan rasa puas hati, kerana sebelum ini tidak pernah ada seorang pun yang dia jumpai diluar negara mampu menjawab soalannya. Walaupun pipinya lebam dan berasa sangat sakit, dia tersenyum kepuasan.


*Iktibar dari kisah ini... Kita harus bijak menjawab soalan dari seseorang yang jahil atau berlagak pandai. Jawapan bukan sahaja harus bijak dan berhemah. Tetapi kita mestilah menjawab dengan tepat. Sesuai dengan umur, ilmu atau tempatnya. Agar jawapan yang diberikan akan sampai ke hati mereka.