Sunday, 2 November 2014
Segala Amalan Terlupus Kerana Sekelumit Sombong
Pada zaman Nabi Musa A.S, ada seorang pencuri yang ingin bertaubat kepada Allah. Dia mencuri bukan kerana suka – suka. Tetapi kerana terpaksa dan desakan hidup yang melampau akibat kemiskinan serta tanggunggannya yang ramai. Malahan pada ketika itu, orang – orang kaya langsung tidak membantu golongan miskin. Malah golongan miskin pula yang tertindas.
Akibat daripada tekanan ini, lelaki ini sudah mencuri selama 40 tahun. Setiap kali selepas dia mencuri, dia akan merasa cukup menyesal dan terseksa. Namun, hari itu dia telah benar – benar bertekad mahu berhenti mencuri. Kerana dia tidak mahu lagi hidup dengan dosa dan mahu memulakan penghidupan yang baru.
Suatu ketika, ketika dia sedang berjalan sambil memikirkan dosa – dosanya dan beristigfar kepada Allah, dia terserempak dengan Nabi Musa A.S. Terlintas di hatinya untuk berjalan bersama dengan Nabi Musa. Sambil mengharap mendapat keberkatan daripada Nabi pilihan Allah itu.
Namun, setelah difikirkannya semula, dia tidak jadi menunaikan hasratnya. “Aku ini seorang pencuri. Sudah 40 tahun aku mencuri. Manalah layak seorang yang banyak dosa macam aku berjalan dengan seorang Nabi pilihan Allah...” Kata lelaki itu.
Seberapa ketika, dia terlihat seorang lelaki yang soleh yang kuat ibadah yang turut berjalan dikawasan itu. Lelaki soleh itu sedang lari – lari anak mengejar Nabi Musa dari belakang. “Lebih baik aku ikut lelaki soleh ini.
Mudah – mudahan dia sudi berteman dengan aku dan mendapat berkat darinya.” Kata Lelaki itu. Namun, semakin dia dekat dengan lelaki soleh itu, semakin laju lelaki soleh itu melangkah ke depan. Lelaki soleh itu kelihatan sangat terkejut melihat lelaki itu.
Dia terus mempercepatkan langkahannya mengejar Nabi Musa. “Kalau aku berjalan bersama dengan si pencuri ini, takut – takut nanti habis rosak segala kebaikan dan amalan aku...” Kata lelaki soleh itu. Lelaki soleh itu merupakan ahli ibadah yang istiqamah.
Dia telah menjaga ibadah dan amalan solehnya selama 40 tahun. Setelah berlari – lari anak, mereka berdua akhirnya sampai serentak kepada Nabi Musa.
Nabi Musa terus berpaling dan bersabda kepada kedua – dua lelaki itu. “Aku baru saja terima Wahyu daripada Allah SWT supaya memberitahu kamu berdua. Segala amalan baik dan buruk kamu telah dimansuhkan oleh Allah SWT...” Terkejut lelaki soleh itu mendengar kata – kata Nabi Musa. Dia berasa sangat kecewa lagi berdukacita.
Manakala lelaki bekas pencuri itu berasa sangat lega dan berbahagia. Segala dosa mencurinya selama 40 tahun telah diampunkan oleh Allah. Manakala Lelaki soleh itu pula, mula meyedari kesalahannya. Kerana selama ini, dia beranggapan dia sangat baik lagi soleh dan dekat dengan Allah. Dia amat yakin yang ibadahnya mampu menyelamatkannya.
Malah dia merasakan dia mampu membeli Syurga Allah dengan amalannya yang banyak dan istiqamah itu. Setiap kali dia beribadah, dia berasa dirinya bertambah baik dan mulia. Sehingga suatu ketika, dia merasa dirinya tidak layak untuk bergaul dengan orang yang banyak dosa apatah lagi mahu berjalan bersama. Dia berasa malu dan hina jika bersama mereka. Dia merasakan orang sepertinya hanya layak berjalan bersama Nabi.
Allah Maha Mengetahui akan isi hati manusia. Dia tidak melihat amalan – amalan zahir manusia semata – mata, tetapi lebih kepada apa yang tersirat dihati seseorang hambanya itu. Dia hanya menilai apa yang termampu oleh hambanya tidak lebih daripada itu.
Dia menguji manusia dengan kesusasahan dan kenikmatan untuk mengetahui siapakah dikalangan hamba – hamba Nya yang benar – benar berjiwa hamba dan merasakan Allah itu Tuhan yang menciptakannya.
Labels:
AGAMAKU
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment