Dikisahkah mengenai seorang pemuda yang warak lagi alim pergi berkunjung ke rumah temannya yang sudah agak lama tidak lama bersua muka. Setelah menjelajah beberapa kawasan dan bukit bakau, akhirnya pemuda itu sampai ke rumah temannya. Sesampai dihadapan rumah, dia terus memberi salam. Salamnya dijawab oleh isteri temannya sambil berkata :
“ Suami aku tak ada di rumah... dia pergi mencari kayu api.... aku harap dia tidak akan pulang lagi. “
Pemuda itu sangat terperanjat dgn perlakuan isteri temannya itu. Malah, isteri temannya itu juga turut mencaci – maki suaminya sendiri. Dia berasa hairan dengan apa yang diperkatakan wanita itu. Kerana sepengetahuannya, temannya itu adalah seorang yang beragama, alim lagi warak.
Setelah beberapa lama, temannya pulang membawa kayu api bersama seekor harimau yang juga turut menggonggong kayu api. Harimau itu berada disebelahnya. Setelah dia memberi isyarat, harimau itu pun meletakkan kayu di kawasan rumah dan terus meninggalkan tempat itu tanpa menoleh lagi. Pemuda itu sangat terkejut dan kagum melihat peristiwa ajaib itu. Dia tertanya - tanya apakah amalan temannya sehingga mendapat darjat karohmah yang sebegitu rupa. Pemuda itu telah dijemput masuk oleh temannya.
Sepanjang dia berada didalam rumah temannya, isteri temannya itu asyik membebel,memarahi dan mencaci temannya itu. Tetapi temannya itu tetap tenang dan riak wajahnya juga lansung tidak menunjukkan perubahan apatah lagi melinting terhadap isterinya. Setelah itu, temannya mengajak pemuda itu untuk melihat tempat temannya membakar besi untuk dijadikan senjata.
Sekali lagi pemuda itu terperanjat apabila temannya memegang besi panas tanpa memakai sarung tangan atau pengepit. Temannya itu selamba memegang besi panas dan tenang melakukan kerjanya. Setelah temannya menyelesaikan kerjanya, dia bertanya apakah amalan temannya itu sehingga memperolehi karohmah seperti itu. Tetapi temannya hanya tersenyum dan tidak berkata apa - apa. Setelah beberapa lama, pemuda itu meminta diri untuk pulang.
Beberapa tahun selepas itu, Pemuda itu sekali lagi menziarahi temannya itu. Sesampai sahaja di rumah temannya, dia terus memberi salam. Salamnya disambut dengan suara yang lemah – lembut. Isteri temannya memberitahu dengan penuh sopan.
“ Suami saya pergi mencari kayu api, InsyaAllah dia akan pulang tak lama lagi.... maaf saya tak dapat menjemput kamu kerana suami saya tiada dirumah... ”
terdengar suara yang lembut dan lunak itu disebalik pintu. Pemuda itu menunggu diluar rumah temannya. Seketika kemudian, temannya pulang sambil memikul kayu api. Kali ini temannya hanya berseorangan.
Tiada lagi ditemani oleh harimau seperti sebelum ini. Temannya itu kelihatan sangat letih dan berpeluh seluruh badan. Dia telah dijemput masuk ke rumah. Isteri baru temannya itu menyambutnya dengan penuh mesra. Dia juga dihidangkan dengan makanan yang banyak dan enak - enak. Selesai makan, dia dijemput temannya dikawasan belakang rumah tempat temannya membakar besi.
Kali ini temannya mengggunakan penggepit untuk memegang besi yang dipanaskan. Berbeza dengan sebelum ini, temannya itu hanya menggunakan tangan untuk memegang besi yang panas itu. Pemuda itu agak kehairanan dan tertanya - tanya. Selepas beberapa lama sebelum berangkat pulang, pemuda itu bertanya kepada temannya akan keadaannya yang sangat berbeza dengan sebelum ini. Sambil tersenyum, temannya menjawab.
“Sebelum ini aku mendapat karohmah kerana aku bersabar dengan karenah bekas isteriku yang sangat teruk. Walaupun dia suka membebel dan mencaci, namun aku diam dan sabar. Allah mengurniakan aku karohmah dengan mendapat pembantu seekor harimau dan tanganku kebal dari kepanasan api. Tetapi, isteriku itu telah meninggal dunia setahun yang lalu. Aku telah berkahwin lagi. Kali ini aku dijodohkan dengan seorang perempuan yang muda, cantik lagi solehah. Tiada lagi bebelan dan celaan tetapi penuh dengan belaian, kelembutan dan layanan yang penuh dengan kasih sayang... Itulah karohmah yang dikurniakan kepadaku sekarang....”
*Iktibar yang boleh diamabil melaui kisah ini... sesungguhnya, ganjaran bagi orang – orang yang sabar sangatlah tinggi. Malah Allah akan meningkatkan darjat seseorang manusia yang bersabar disisi-Nya. Orang – orang yang mampu bersabar adalah daripada kalangan manusia yang terpilih. Jika kita mampu bersabar dengan setiap ujian yang Allah datangkan, nescaya Allah akan gantikan ujian itu dengan ganajaran yang sangat besar dari arah yang tidak disangka – sangka. Jika ganjaran itu tidak kurniakan didunia, nescaya akan dikurniakan semasa di negeri Akhirat. Sepertimana kisah ini, Allah memberi ganjaran dan darjat yang tinggi kepada seorang suami yang dapat bersabar dengan karenah seorang isteri.
No comments:
Post a Comment