Katogeri

Wednesday, 30 September 2015

KECOH KERANA TAHLIL....


Semalam mengikuti kuliah disebuah masjid yang berdekatan. Ustaz yang menyampaikan kuliah pada malam itu menyentuh mengenai majlis tahlil.

Ustaz itu menyatakan dengan tegasnya bahawa dia tidak bersetuju dengan amalan majlis tahlil. Kerana majlis tahlil tidak diamalkan oleh baginda Rasulullah.

Ustaz itu juga menegaskan bahawa, jika dia meninggal dunia... Dia melarang isteri dan ahli keluarganya melakukan majlis tahlil untuk dirinya.Dia mahu mengikut Rasullulah. Jika Rasulullah tidak pernah buat sesuatu perkara, dia juga sama sekali tidak akan melakukan perkara tersebut.

Kenyataan ustaz itu telah disanggah oleh sebilangan ahli jemaah masjid yang hadir. Bagi meraka, majlis tahlil sangat penting. Majlis tahlil bukan sahaja untuk membantu si mati di alam bazakh, malah akan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara umat Islam.

Keadaan bertambah hangat apabila ustaz tetap dengan pendiriannya. Bahawa majlis tahlil lebih kepada adat. Bukannya syariat.

"Tidak salah buat majlis tahlil. Kerana ulamak yang buat. Tapi bagi saya... Saya tetap mahu mengikut Rasulullah." Tegas ustaz itu.

Keadaan menjadi reda setelah ustaz mengeluarkan kenyataan sebegitu. Dengan tenang ustaz itu menutup kuliahnya dengan doa. Selepas solat isyak, masih kelihatan air muka ustaz itu yang tawar dalam kejernihan.

Dua perkara yang saya belajar dikuliah maghrib semalam. Pertama... Mengenai majlis tahlil. Kita mesti hormati golongan yang tidak mahu lakukan majlis tahlil. Kerana ia bukanlah perkara wajib didalam islam. Memang tujuan kita mahu membantu si mati yang mungkin bapa, ibu atau adik beradik kita.

Numun, bagaimana pula bagi keluarga yang benar - benar daif? Jangankan mahu buat majlis tahlil... Untuk menguruskan jenazah pun tidak mampu. Tidakkah sangat terbeban bagi mereka?

Maklumlah... Nak buat majlis tahlil perlu juga ada duit. Adat orang kita, keluarga si mati yang perlu buat jamuan untuk tetamu yang hadir di majlis tahlil.

Sudahlah mereka kehilangan orang yang tersayang... Terpaksa pula menjamu makan untuk orang lain pula. Bagi orang berada, buat majlis 100 hari pun tak ada masalah. Namun bagaimana pula mereka yang miskin?


Mungkin sebab inilah Rasulullah tidak laksana majlis tahlil. Kerana baginda sangat arif mengenai keadaan umatnya. Samada umatnya yang sempat bersama baginda mahupun umatnya diakhir zaman.

Bukankah semua benda akan ditinggalkan si mati melainkan tiga perkara. Iaitu anak yang soleh, ilmu bermanfaat yang disampaikan dan sedekah jariah.

Perkara kedua ialah mengenai menghormati guru. Mungkin didalam beberapa perkara kita tidak bersetuju dengan guru yang menyampaikan kuliah.

Namun, kita tetap wajib menjaga adab dengan guru. Kalau mahu tegurpun bukannya dihadapan umum, apatah lagi ketika kuliah sedang berlangsung.

Perkara khilaf adalah biasa. Melainkan guru itu menyampaikan ilmu yang menyalahi hukum syariat.



Samseng Dulu & Samseng Sekarang....


Bila mengimbau kembali zaman persekolahan dulu... Teringat dengan seorang teman rapat yang "gedebe". Dia merupakan rakan sekelas.
Orangnya bertubuh besar, kasar dan berwajah bengis. Kerap bertumbuk dan membelasah orang di sekolah.

Namun, dia bukan kaki buli. Tidak bergaduh dengan rakan sekelas malah menjadi pelindung. Bila rakan sekelas ada masalah dengan pelajar lain, dia pasti akan menyokong, malah dia pula yang akan bergaduh.
Lebih mengkagumkan... Dia tidak pernah kurang ajar dengan guru. Walaupun dia "taiko" besar disekolah. Dia pernah dirotan dan dihukum didepan ramai pelajar, tapi dia tidak pernah bertindak kurang ajar.

Pernah sekali dia membelasah teruk seorang pelajar baru. Bila disiasat, rupanya pelajar baru itu telah bertindak kurang ajar dengan seorang guru disiplin.

Dia dan "budak baru" itu, sama-sama ditangkap kes merokok didalam tandas. Apabila disoal guru disiplin, dia hanya terdiam.

Tapi, lain pula dengan budak baru itu. "Kau larang pelajar hisap rokok! Tapi kau setiap hari berkepok-kepok asap keluar mulut! Blah la!" Kata budak baru itu kepada salah seorang guru disiplin.

Tanpa banyak cakap, dia yang sedang duduk mencakung.... Terus bangun dan membelasah budak baru itu. Penumbuk dan penendang menjadi "hadiah" istimewa. Dia sangat handal berlawan. Guru dan Pengawas tak sempat untuk menahan tindakannya itu.

Budak baru itu lembik dikerjakannya. Serangan pantas dan bertubi diluar jangkaan semua orang yang berada disitu ketika itu. "Aku pantang orang kurang ajar dengan orang tua". Katanya apabila ditanya kenapa membelasah budak baru itu.

Sekarang, dapat tahu dia telah menjadi seorang inspektor polis. Khabarnya telah bertugas di Pulau Pinang. Sudah beristeri dan mempunyai cahaya mata.

Ikhtibarnya.... Walau "gedebe" atau samseng macam mana sekalipun, jangan sesekali kurang ajar. Apatah lagi bertindak kasar dengan guru atau orang yang lebih tua.

Ini kerana, doa seorang guru terhadap muridnya akan memberi keberkatan. Walau sejahat manapun seseorang itu, jika didoakan kebaikan oleh gurunya. InsyaAllah, akan memberi kebaikan dan keberkatan didalam hidup di hari yang mendatang.